Friday, November 8, 2024

DERAWAN ISLAND

       Mutiara terpencil di Lautan Sulawesi.  Orang lebih mengenali Raja Ampat daripada Derawan.  Walau bagaimana pun kedua duanya di Lautan yang sama.  Dari pandangan saya kecantikan alam semula jadi lebih sedikit kepada Raja Ampat.  Apa pun Derawan Island wajar dikunjungan bagi mereka mereka yang cintakan  "Back to Nature".

    Terdapat dua laluan untuk kedaerah tersebut daripada Kuala Lumpur.  Satu kita boleh ambil penerbangan Airasia atau Scoot ke Balik Papan dan penerbangan Citilink daripada   Balik Papan ke Berau atau Tarakan. Daripada Berau Airport ke Tanjung Batu, 2 jam dengan kenderaan darat dan seterusnya daripada Tanjung Batu menaiki speed boat lebih kurang 45 minit ke Derawan Island.

     Kedua dengan penerbangan 2 jam 50 minit daripada KLIA ke Tawau dan meneruskan perjalanan dengan Ferri sekali sehari ke Tarakan.  Atau ferry daripada Tawau ke Nunukan dan seterusnya ke Tarakan.  Tambang sehala terkini ialah RM 200.00 untuk perjalanan sehala ferri Tawau ke Tarakan.  Manakala daripada Tarakan kembali ke Tawau pula IDR 850.000.  Disini saya syorkan beli tiket daripada Klook kerana lebih murah dan senang.

   Masa perjalanan adalah 3 jam bergantung kepada cuaca.  Ferri daripada Tawau bertolak jam 11.00am juga sebaliknya daripada Tarakan,  Perlu dingat, penumpang digalakan berada di pelabuhan satu jam lebih awal.

   Walau pun Derawan Island 3 jam perjalanan daripada Tarakan tetapi tiada pengangkutan awam (Feri) ulang alik bagi penduduk setempat.  Jadi kepada sesiapa yang hendak kesana dikehendaki menyewa bot secara sendirian atau berkongsi dengan penumpang lain.  Bagi pelancung mereka diangkut dengan bot khas yang semuanya termasuk dalam package.

        Perjalanan kami hari ini tertangguh kerana  menanti 2 penumpang lain daripada Pontianak.  Walau bagaimana pun selepas makan tengah hari sekitar jam 3.00pm kami bertolak ke Derawan Island.  Cuaca agak tenang dan perjalanan berjalan lancar menaiki bot dengan  12 capasiti penumpang.  Agak selesa dengan kelajuan 25 ke 30 knot.
     Tiada apa yang dapat dilihat selain laut yang terbentang luas.  Sekali sekala kelihatan jongkang-jongkang bersusun menanti giliran untuk muatan arang batu (Batu bara)


     Sebagaimana yang dijangkakan kami selamat sampai di Derawan Island sekitar jam 18.00pm dengan cuaca terang dan masih panas.  Sunset bakal menjelma dan penginapan kami hari ini adalah berupa chalet atas laut (Idaman Cottage) dengan pemandangan yang amat menarik.
     Air laut sedang pasang dan tidak diduga kami dapat melihat beberapa ekor penyu hijau dipermukaan sedang mencari makanan.  Satu pengalaman yang menarik.


                                        (Idaman Cottage)
      Tiada apa-apa aktiviti petang ni.  Kami memilih untuk bersantai dianjung tinjau penginapan menikmati keindahan alam  Derawan Island ciptaan Allah.  Ada yang memilih untuk berehat dibilik kerana keletihan sementara menanti makan malam.
       Bagi saya Derawan Island masih memelihara keaslian semula jadi  daripada kampung nelayan ke destinasi pelancungan yang berpotensi.  
        Selepas sunset masuk waktu maghrib dan berkumandang Azan daripada Masjid berdekatan.  Saya difahamkam bahawa majority penduduk Derawan Island adalah Muslim dan kebanyakn daripada mereka adalah nelayan dan ramai juga berada disektor pelancungan,
       Selepas maghrib makan malam disediakan serba ringkas tetapi enak dengan suasana layanan dan persekitaran yang cantik.  Briefing untuk hari besok dilakukan oleh tour guide untuk aktiviti keesokan harinya.

        Seawal jam 07.00am hari kedua kami bergerak menuju Maratua Island.  Sebuah pulau pelancungan elit dengan 2 jam perjalanan.  Cuaca juga memihak  dengan air laut yang tenang memudahkan kelancaran bot.
       Kebiasaannya laluan daripada Derawan ke Maratua jika bernasib baik kita akan diringi dengan puluhan ekor ikan lumba-lumba.  Tetapi pagi ini agak sepi dan tiada kelihatan seekor pun mereka timbul dipermukaan laut.
         Maratua Island atau Maratua Atoll mempunyai beberapa buah perkampungan dan terdapat resort-resort antarabangsa. Salah satunya ialah Maratua Resort yang  dimaklumkan kepunyaan ushawan Malaysia. Jadi tidak hairanlah disana terdapat sebuah lapangan terbang untuk pendaratan pesawat-pesawat kecil.  
Setiba kami diresort, kami disajikan dengan minuman kopi dan teh panas dengan sedikit oleh-oleh tempatan sebagai "Minuman selamat datang".




             Sebenarnya perhentian di Maratua Resort adalah setakat untuk mengambil gambar dan menantikan air pasang sebelum meneruskan perjalanan  ke Gua Halo Tabung.  

         Gua Halo Tabung adalah sebuah gua yang unik dengan kejernihan airnya yang membiru.  Terletak di daratan 30 minit daripada Maratua Resort.  Perlu berjalan kaki melalui denai sejauh lebih kurang 100 meter daripada pantai  kedalam.

       Gua Halo Tabung merupakan salah satu tumpuan pelancung yang terletak di Kampung Payung-Payung.  Mempunyai kedalaman sehingga 25 meter dan terbentuk daripada batu-batu karst.  Airnya adalah daripada sumber air laut yang meresapi  masuk melalui celah-celah batu dan menjadi  sebuah kolam.
         Volume air didalam gua mengikuti pasang surut air laut.  Jarak antara gua dan bibir daratan yang berperbatasan dengan air laut sekitar 50 meter.
       Airnya memiliki rasa payau meski pun airnya berasal daripada laut.  Namun proses masuknya air kedalam gua melewati celah-celah karst menjadikan airnya payau.
  Aktiviti utama yang biasa dilakukan oleh pelancung ialah berenang didalam gua .  
      Apa yang  menarik biasanya  diketemukan didalam gua ini adalah posisi atap gua yang terpisah menjadi dua, sehingga jika berenang daripada bawah harus melewati sebuah lorong karst.
Air didalam gua amat sejuk, jernih sehinggakan batuan yang ada dinding ke dindingnya boleh dilihat dari atas ketika terpancar sinar matahari dan terjadinya warna pantulan air yang membiru.

Perhentian rehat dan makan tengah hari Pulau Kakaban

  
      Dua perkara penting ketika berada di pulau ini.  Pertama kita dapat berenang dengan Jelly Fish (Sekarang tempat ini ditutup untuk sementara proses pengubahsuaian) dan keduanya snorkling.
      Sebelah petang dalam perjalanan ke Pulau Sangalaki kami bernasib baik  ditemani  dengan lompatan ikan lumba-lumba.  Belasan ikan lumba-lumba mengiringi bot dan membuat lompatan aksi-aksi yang menarik.  Jadi kehampaan untuk dilihat dibelah pagi digantikan dengan aksi sebelah petang.
       Petangnya kami menuju Pulau Sangalaki.  Pulau penetasan penyu dan kehadiran Manta Rays.  Malang Manta Rays tidak kelihatan dan kami pulang ke Derawan Island.

    Pengembaraan diteruskan buat hari yang ketiga.  Seawal selepas subuh kami bertolak ke Pulau Talisayan mencuba nasib untuk berenang beriringan dengan Wheal Shark. Tapi tiada kepastian sama ada dapat bertemu atau tidak.   Satu-satunya lokasi yang menjadi tarikan pelancung ke Derawan Island.  

Derawan Island Sunrise
        Ketika ini matahari masih belum kelihatan diufuk timor dan dalam samar-samar kecerahan laut bot kami membelah Lautan Celebis.
      Pulau Talisayan terletak 2 jam perjalanan laut daripada Derawan.  Disana terbina pelantar-pelantar nelayan menangkap ikan.  Juga disana menjadi tumpuan wheal shark untuk mendapatkan makanan daripada nelayan-nelayan yang menjatuhkan ikan-ikan yang menjadi makanan mereka.  Manakala air dicurahkan daripada atas pelantar senantiasa ketika wheal shark sedang makan. Dimaklumkan jika bernasib baik, 5,6 ekor wheal shark akan kelihatan dipermukaan laut dalam satu-satu masa bergantung kepada nasib dan kekadang tiada.
        Pada saya wheal shark ialah spesis ikan yang jinak.  Mereka boleh membesar sehingga 18 meter panjang dan berat mencapai 34 ton.  Kita dilarang sama sekali menyentuh wheal shark dalam apa keadaan sekalipun.

    Pagi ini saya orang yang pertama turun dan berenang dengan wheal shark.  Terpegun dan terpinga serta seram untuk mendekatinya.  Melihat kepada mulut yang besar dan luas, sebesar tubuh saya dengan berat 70 kg sudah tentu senang-senang untuk saya ditelan tanpa kyabar berita.  
    Berulang kali saya mencuba akhirnya dapat juga merakamkan saat-sata terbaik walaupun cemas bersama wheal shark.  Satu pengalaman yang sukar dicari ganti.  
    Selepas berada hampir 3 jam di Talisayan kami bergerak pula untuk minum pagi disebuah pulau kecil yang cantik.  Pulau ini dulunya mungkin penempatan nelayan tempatan.  Terdapat sebuah batu nisan kanak-kanak perempuan dipantainya yang seringkali dilanda ombak pasang surut.  Namun kedua batu nisan masih berdiri tegak dan kelihatan utuh walaupun sejak lama berhadapan fenomina ombak.

    Pulau ini dikenali dengan nama Pulau Manimbara.  30 minit berjalan kaki disekeliling.  Pokok-pokok kelapa menjulang tinggi menandakan bahawa satu ketika dulu Pulau Manimbara pernah dihuni oleh penduduk setempat.  Terletak satu jam perjalanan daripada Talisayan dan 2 jam menghala ke Labuan Cermin.  Merupan lokasi persinggahan bagi bot-bot yang menghala ke Labuan Cermin dan sebaliknya.  Satu jam kami disini dengan suasana yang tenang dan damai.
    Siap minum pagi ala Indon stail, nasi kuning dan maggi goreng serta seketul ayam goreng,   bot meluncur terus ke Labuan Cermin.  Destinasi paling jauh dalam dan terahir untuk hari ini.  Kami sampai disana lebih kurang jam 11am dalam keadaan  cuaca yang amat baik.
Muara Labuan Cermin yang terkenal dengan kehadiran buaya-buaya dua alam.  Air masin dan air tawar.
      Sedia maklum hari ini adalah Hari Digarhayu Republik Indonesia bersamaan 17 Agustus 2024.  Ramai para penduduk setempat bersantai dan perahu klotok juga beroperasi mengikut jadual.  Walau bagaimana pun kami bernasib baik dapat meneruskan perjalanan ke Danau Labuan Cermin awal daripada dijangkakan.  Daripada muara kedalam danau menaki perahu klotok mengambil masa sekitar 15 minit.
    Danau Labuan cermin amat terkenal dikalangan pelancung tempatan mahu pun luar negara.  Namnya diambil daripada nama daerah dimana terletaknya danau ini yang bernama Labuan Kelambu.  Manalaka asal cermin diambil berdasarkan ketenangan air danau yang memantulkan bayangan dan cahaya dari luar yang sangat jelas kelihatan  seperti cermin.
    Keunikan Danau Labuan Cermin ialah bukan sahaja airnya yang jernih tetapi airnya yang mempunyai dua rasa.  Bahagian permukaan airnya tawar dan bahagian dasarnya air masin.  Satu ketentuan Allah untuk makhluknya agar berfikir tentang alam kejadian PenciptaNya yang Maha Agung.
    Dalam keseronokan berada di Danau Labuan Cermin, pelancung diingatkan bahawa lokasi ini banyak dihuni oleh buaya-buaya liar yang kelihatan timbul berjemur didaratan juga di danau.  Pernah dilapurkan satu ketika dulu buaya besar sepanjang 4.7 meter ditemui disini dan telah dipindahkan ke lokasi lain.  
    Danau Labuan Cermin ketika ini telah dipagar supaya tidak diceroboh oleh mamalia bahaya ini. Kerana pernah juga satu ketika buaya ini masuk dan berada dalam Danau Labuan Cermin yang seringkali dilawati pelancung.  Dalam keseronokan pengunjung harus berwaspada demi keselamatan.
    
    






No comments:

Post a Comment